Sudi-sudikanlah follow blog saya ni..Terima Kasih (^_____*)Y

Friday, January 28, 2011

Bersatu teguh, bercerai roboh..

2005,
Detik masa yang lalu masih giat berputar-putar di minda. Pada masa itu, aku masih berada di alam persekolahan. Banyak sekali kenangan manis. Memang benar apa yang sering kali cikgu kami pesan, zaman persekolahan adalah merupakan kenangan paling manis bersama dengan rakan-rakan seperjuangan. Inilah masa dan kesempatan yang dapat mengeratkan lagi perhubungan persahabatan. Apa taknya, sebahagian daripada jadual harian kita sentiasa bersama-sama dengan rakan-rakan kita. Sedangkan setelah tamat sekolah, sudah tiada masa lagi untuk berkongsi masa bersama-sama rakan sekelas lama untuk bersua muka sahaja pun. Pastinya ada sahaja jadual tetap dan urusan hidup masing-masing yang lebih penting untuk diselesaikan.

2007,
Pada detik ini, aku bersama dengan rakan sekumpulanku sangat aktif bergiat dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti bentuk kuiz ataupun aktiviti kreativiti secara berkumpulan. Suatu ketika, sekolah kami telah mengadakan satu pertandingan sketsa drama.  Gurauan tiba-tiba menjadi nyata. Kami hanya sekadar 'suka-suka' untuk mengikuti pertandingan drama tesebut. Aku selaku penulis skrip dan bertanggungjawab dalam peranan bidang pengarahan. Hasil perbincangan dan idea bersama, kami telah sepakat untuk menjadikan lagenda 'bawang putih, bawang merah' yang terdapat dalam buku teks kesusateraan melayu tradisional tingkatan 6 sebagai drama sketsa lakonan kami itu.

Segalanya berlangsung tanpa perancangan rapi. Hampir melewati tarikh sebenar hari pertandingan kami masih belum selesai mempersiapkan diri masing-masing dengan latihan secukupnya. Namun, disebabkan semangat yang kuat dan hubungan persahabatan yang tidak mementingkan diri sendiri kami telah berjaya menjuarai pertandingan tesebut. Begitu mengejutkan kami semua, kerana ianya benar-benar tidak termasukdalam impian dan niat kami sebenarnya. Kami tidak mengharapkan kemenangan, tetapi kami hanya mengharapkan kejayaan. Tidak semestinya sesuatu kekalahan itu bermakna kita tidak berjaya. Namun, ianya tetap termasuk dalam kategori "kalah tetapi menang secara bermaruah", insyaAllah.

Oleh itu, masuk kali kedua, sekali lagi diadakan pertandingan drama sesi kedua. Disinilah betapa pentingnya niat dan keikhlasan sebenarnya. Pada mulanya kami sepakat. Namun, lama-kelamaan, masing-masing mempunyai pendapat dan pendirian tersendiri. Maka, aku terpaksa membuat kata putus. Ada lebih baiknya aku mengundur diri. Mereka juga hairan dengan tindakan ku itu. Mengapa ianya terjadi begini?. Ini kisahnya sebenar, aku selaku penulis skrip pada masa itu, sangat teruja untuk menghasilkan drama yang lain daripada drama sebelum itu. Ada segelintir sahabat kurang sependapat kerana mereka ingin menjadikan drama yang sebelum itu digunakan semula sebagai drama yang sama untuk dipertandingkan lagi kali kedua. Risau kemenagan tidak akan diperoleh sekiranya tidak digunakan drama 'bawang putih bawang merah'. Sedangkan drama yang ingin aku cadangkan adalah drama baru dari sebelumnya iaitu lagenda 'mahsuri'. Oleh itu, aku bersedia mengundur diri, dan memberi ruang serta peluang kepada mereka. Itu tidak bermakna aku merajuk atau terasa hati, tapi aku tidak sanggup untuk melawan rasa hati. Kecewa kerana tidak mampu menunaikan hasrat mengansipirasikan drama sketsa lagenda 'mahsuri' itu. 'Menang' bukanlah niat..tapi keikhlasan itulah yang paling penting.

Tiba saat pertandingan, aku gagal menghadirkan diri menyaksikan sketsa lakonan mereka. Setelah keputusan diumumkan, perkara yang agak mengecewakan pula terjadi. Apa yang tidak diharapkan, itulah yang terjadi. Mereka tidak berjaya mendapat pingat juara, malah mendapat tempat yang agak tecorot. Aku begitu terkejut dengan keputusan itu. Mana tidaknya, aku juga yakin dengan kebolehan mereka. Namun, apakan  daya segalanya sudah muktamad. Inilah yang diibaratkan bersatu teguh, bercerai roboh.

Masih lagi kuingat sewaktu pertandingan kreativiti yang diberi gelaran 'business plan'. Sahabatku Effa, Hendry, dan Maz adalah rakan ahli sekumpulan. Sebelum tarikh tutup, kami was-was untuk ikut serta. Saat-saat akhir, barulah kami berubah fikrian untuk menyertai pertandingan tersebut. Nasib baiklah rayuan kami diterima oleh cikgu. Sungguh mengejutkan bila, kumpulan kami diumumkan menjuarai pertandingan tersebut, sehinggalah kertas kerja kami dijadikan contoh. Syukur alhamdulilllah berkat daripada usaha kami sepakat membawa berkat.

Inilah pentingnya kata sepakat muafakat dalam sesbuah perhubungan. Tidak kira sahabat mahupun perhubungan dalam kekeluargaan. Semuanya perlu ada kesepakatan, jika tidak maka robohlah ikatan yang dibina hanya semata-mata terpesong oleh niat yang kurang baik. Wallahu'alam...




          

Wednesday, January 26, 2011

suatu ketika...

      Hari pertama aku melapor diri untuk bertugas di sekolah jenis kebangsaan itu, tidak dapat disangkal lagi betapa gementar aku rasakan. Apa taknya, tidak dapat aku bayangkan bagaimana mungkin untuk aku betah berada di tempat yang agak baru bagiku. Untuk menyesuaikan diri bersama rakan sekerja yang baru, lokasi yang baru, dan serba-serbi yang baru, begitu menyukarkan setiap gerak-geriku.

        Segalanya tidaklah seperti yang aku khuatiri. Walau kami berbeza agama dan bangsa, namun slogan 1malaysia tetap tebal dijiwa mereka. Alhamdulillah, semua warga rakan sekerja menerima kedatanganku dengan begitu baik sekali. Mereka begitu ramah melayanku mesra. Juga, banyak memberikanku tunjuk ajar dan nasihat kepadaku. Sebaik bersuai kenal dengan mereka semua, aku menyelesaikan semua urusan berkaitan lapor diri bertugas. Kemudian, aku ditugaskan menjadi guru mengganti kelas. Hari pertama aku mengenali murid-murid berbangsa cina itu, aku terasa agak sukar dan begitu mencabar terutamanya tatkala berkomunikasi dengan mereka. Rupanya, masih wujud ramai di kalangan murid-murid berbangsa cina yang langsung tidak fasih bertutur dan memahami bahasa melayu. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana keadaannya nanti,jika aku ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran bahasa melayu.
       
             Seawal pagi lagi aku telah tiba ke perkarangan bangunan sekolah yang begitu tinggi itu. Aku berjalan kaki untuk menuju ke bangunan sekolah, terdapat segelintir murid-murid yang menyapa aku dan mengucap tanda hormat.
     Murid 1:   selamat pagi cikgu..
     Murid 2:   Cikgu, bila cikgu masuk ke kelas mengajar bahasa melayu di kelas kami,cikgu?..
     Murid 3:  Yalah cikgu, kami sudah tidak sabar. Kami teringin sangat cikgu mengajar kami bahasa melayu. Cikgu, nanti tolong beritahu guru besar, kami nak cikgu ajar kami. Tolong ya, cikgu.
          Aku hanya mengangguk senyum membalas pertanyaan mereka. Hairan juga, beriya-iya sangat mereka mengajukan permintaan itu. Lama-kelamaan aku sudah boleh menyesuaikan diri di tempat baru itu. Memang agak sukar pada mulanya. Apa taknya, perhimpunan sekolah setiap pagi Isnin akan diacarakan menggunakan bahasa rasmi mereka iaitu bahasa cina. Aku hanya bertindak sebagai pemerhati. Terdapat juga guru-guru yang prihatin dan memberikan tunjuk ajar serta membantuku memahami segala pengumuman yang mereka utarakan menggunakan bahasa kebangsaan itu.
   
          Beberapa lama kemudian, aku telah bisa menjalankan tugasan rutinku dengan lancar dan cekap. Pelik juga, ramai murid-murid lebih gemar apabila aku bertugas mengajar di kelas mereka berbanding guru yang lain. Sehinggakan guru-guru yang lain telah memberikan teguran agar aku jangan terlalu memberikan layanan yang baik terhadap murid-murid.

                Sewaktu di kelas pada waktu itu, aku sedang bertugas menggantikan seorang guru yang sedang cuti sakit. Terdapat segelintir murid berasa sangat gembira dengan kehadiranku di kelas mereka. Mereka sangat gembira, terdetik juga rasa hairanku dengan kerenah mereka itu.

       Murid : Cikgu, nanti masa akhir, cikgu masuk mengajar kelas kami lagi kah?..Aku mengatakan bahawa guru lain yang akan mengganti masa tersebut. Lantas mereka terasa kecewa bukan kepalang lagi. Aku hanya menggelengkan kepala sahaja. Tanpa membuang masa lagi, aku mengarahkan mereka agar menyiapkan kerja tugasan dan latihan-latihan sebagai ulangkaji. Mujurlah mereka juga mendengar nasihat dan tidak banyak kerenah. Senang sedikit kerjaku.

          Pernah suatu ketika, aku telah diarahkan untuk menjadi guru pembimbing untuk syarahan bahasa malaysia. Pada hari pertandingan Piala Syarahan bahasa Malaysia, sekaligus aku dilantik menjadi salah seorang pemeriksa ujian bertulis seluruh sekolah-sekolah peringkat daerah. Syukur alhamdulillah, sekolah kami telah mendapat pingat johan. Guru-guru lain sangat bangga dan tidak sangka mendapat berita gembira itu. Inilah julung-julung kalinya sekolah mereka berjaya menjunjung pingat johan bagi kategori syarahan bahasa malaysia. Aku bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t ini....Alhamdulillahirabbil'alamin. 


         Terlalu banyak pengalaman berharga dan baru bagiku di sini. Dari aku tidak pernah berkursus, aku telah menghadiri pelbagai kursus, taklimat dan seminar di beberapa buah tempat. Sehinggakan aku terpaksa menaiki teksi untuk menuju ke tempat-tempat kursus yang diadakan di sekolah yang agak jauh. Mujurlah aku tidak tersesat. Menghadiri taklimat dan mesyuarat di pejabat juga sering kali aku lewat menghadirkan diri, disebabkan ketiadaan kenderaan.

         Ada detik-detik tertentu aku terpaksa menaiki bas untuk menuju ke sekolah. Mendaki bukit yang sangat curam. Ditambah dengan keadaan sunyi begitu menambah rasa gerun sebenarnya. Memang tidak dinafikan rasa gerun apabila melalui jalan yang sunyi sepi. Sehinggakan aku pernah melewati jalan raya yang sunyi tanpa kenderaan yang sibuk melalui jalan itu. Kerana terpaksa, aku gagahkan diri. Berserta doa serta tawakal, alhamdulillah aku masih selamat hingga ke hari ini.

           Semasa menghadiri pelbagai kursus, ianya telah memberikanku ruang untuk mengenali rakan-rakan dan kenalan yang begitu mesra. Pertemuan kami menjalinkan persahabatan yang tidak mengenal usia. Setiap kali menghadiri kursus, aku adalah di antara guru yang memiliki usia sangat muda sekali.
            Tawa dan  lawak jenaka segelintir guru-guru yang turut hadir semasa aktiviti kursus dijalankan begitu memeriahkan suasana. Aku terasa sedikit selesa. Tidaklah begitu terpinggir disebabkan status kelulusanku yang sangat rendah jika dibandingkan dengan mereka. Rasa rendah diri masih belum terhakis lagi.

             Hari tetap pantas berlalu meninggalkan detik-detik lalu. Menuju ke hari yang dinantikan, menuju saat-saat melewati kontrak perjanjian. Seperti masa lalu, aku akan mengulangi detik itu. Berat hati tetap menyebulungi hati. Mereka juga berat melepaskan ku pergi. Begitu juga denganku. Berulang-ulang kali, mereka mengatakan dan berharap agar aku akan kembali bertugas semula di sekolah itu.

                InsyaAllah, aku berdoa perkara yang sama. Semoga rezeki yang dilimpahkan Tuhan akan beralih kepadaku kelak.Amin Ya Rabbal'alamin.




   

Monday, January 24, 2011

Rintangan VS kekuatan = Alhamdulillah..

           Seawal pagi lagi hujan masih membasahi bumi. Masih tidak reda. Cuaca mendung menampakkan pagi masih gelap ibarat malam tanpa cahaya bulan. Aku tetap meneruskan aktiviti rutin setiap pagi. Nak tahu, apa dia?...Masakkan ikan untuk makanan kucing. Kakak aku,Kak Fazi yang bertugas di kawasan pedalaman sangat gemar memelihara kucing. Semenjak dari dia menuntut pengajian di universiti di uitm lagi, Kak Fazi sudah berjinak-jinak dalam menggiatkan aktivitinya ini.

              Semenjak Kak Fazi telah mendapat pekerjaan dan bertugas sebagai penyelia asrama di kawasan pulau pedalaman, aku lah yang akan menggantikan tugasnya itu. Sebenarnya hanya untuk sementara waktu sahaja. Sebab, aku sendiri pun tidak tetap berada di kampung ini. Sekiranya aku diperlukan untuk bertugas mengajar di sekolah, aku terpaksa "menurut perintah".
            

               Segala kerja-kerja rutinku telah selesai. Tepat pukul 8.30 pagi aku sedia untuk menuju ke destinasi. Ya, bersama sahabatku Maz. Hujan renyai-renyai masih belum menunjukkan untuk reda seketika. Terasa begitu banyak halangan dan rintangan dalam usaha kami ini. Terasa, ingin sahaja kami memutuskan niat dan berputus asa. Mungkin bukan rezeki nampaknya. Tetapi, azam dan keinginan tetap diiringi dengan semangat serta tawakal kepada illahi. Rintangan dan halangan tetap kami tempuh juga. Jalan raya yang sesak, urusan pengesahan salinan-salinan sijil yang masih belum selesai menambah mematahkan semnagat untuk terus berjuang. Ditambah lagi dengan tarikh tutup permohonan hanya tinggal beberapa ketika sahaja lagi begitu menyulitkan.
              Mujurlah  abangku, abang Zal yang bertugas di pejabat banyak membantu kami dalam menyelesaikan urusan-urusan itu. Syukurlah, segalanya telah selesai tanpa sebarang kesulitan. Lega terasa bila semuanya berjalan lancar. Namun, harapan masih kabur. Aku tidak mahu mengharap apa-apa pun. Ya, semuanya kerana aku tidak mahu kecewa menyelebungi diri bila jawapan yang pasti kurang menyenangkan kelak.Begitu banyak halangan, seolah-olah petanda itu menampakkan jawapan yang tidak menyenangkan kelak. Yalah, seperti yang kita sedia maklum, kita hanya mampu merancang dan meramal tapi semuanya diketahui dan ditentukan oleh Allah s.w.t..Wallahu'alam...

rezeki,datanglah menjengukku..amin...

         Getaran telefon bimbitku mengejutkan aku dari terlelap seketika. Jam di telefon bimbit baru menunjukkan pukul 2.30 petang. Kerana mengantuk aku terlelap seketika setelah selesai solat zohor. Kulihat ada mesej baru sampai. Rupanya sahabat seperjuanganku yang ingin menemui aku pada petang itu. Setelah selesai solat asar, aku menemui sahabatku itu, di tempat biasa. Di mana lagi kalau bukan di jeti tepi laut. Pemandangan yang sangat mempesonakan mata memandang. Sudah agak lama kami tidak bertemu, terlalu banyak hal yang dibicarakan bersama.
           Maz, salah seorang sahabat karibku yang menjadi teman ke mana sahaja pergi. Ya, hanya tinggal kami berdua yang setia menjadi penunggu di kampung kami ni. Semua rakan-rakan seperjuangan kami yang lain telah melanjutkan pelajaran ke universiti. Maka, hanya kami sahaja yang masih setia di sini menjadi penunggu. Kerana dia lah juga aku melibatkan diri dalam memberikan ilmu sebagai pendidik, guru di sekolah. Pada tahun pertama dia menjadi guru sandaran, aku masih belum berminat untuk melibatkan diri sebagai pendidik. Setelah masuk tahun seterusnya, atas pelawaannya maka Allah s.w.t telah membuka pintu hatiku untuk mencuba nasib dalam bidang ini.

              Alhamdulillah, berkat pelawaannya aku telah berubah sedikit demi sedikit menjadi orang yang berilmu dan mementingkan hal-hal berbentuk ibadah(InsyaAllah). Syukurlah aku menemui salah seorang sahabat yang boleh membimbing aku ke jalan yang lebih diredhai. Hujan memabasahi bumi tatkala kami bersembang terlalu leka di jeti itu. Kami pun bergegas balik ke rumah. Sungguh singkat masa yang berlalu.

               Malamnya, aku menerima berita baik dari kakak ku yang bertugas di sekolah rendah. Dia memberitahuku bahawa ada iklan pemberitahuan pengambilan guru sandaran tidak terlatih bagi pendidikan islam. Makanya kami merancang untuk ke pusat PPD  untuk mendapatkan borang itu. Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi tarikh tutupnya. Kemudian abang aku yang juga bertugas di bahagian pejabat juga menghubungiku dan memberitahu berita baik tersebut. Begitu juga dengan Maz. Dia menghantar SMS untuk memberitahuku tentang berita baik itu.
               Niat baik itu, kami teruskan juga. Aku dan Maz pergi untuk mengisi dan menghantar borang tersebut ke pejabat.Adakah sekali lagi kami akan berbakti sebagi pendidik?.. Harap kejayaan akan menemui kami, Amin Ya rabbal'alamin...







            

Saturday, January 22, 2011

ini la nasib..wahai diri...

Sudah hampir sebulan aku bertapa di kampung kelahiranku ini..inila nasib menjadi 'guru sandaran tidak terlatih'..bila khidmat diperlukan,kami akan dipanggil untuk memberikan 'bantuan kecemasan' di kala pihak sekolah kekurangan guru sebagai tenaga pengajar.Nampak indah di mata kan.Orang sekeliling tidak akan faham situasi golongan seperti kami ini. Hanya kami sahaja yang mengerti segalanya. Sekarang ni,kami sudah pun bergelar penganggur. Terpaksa menunggu dan terus menunggu...erm...menunggu sesuatu yang tidak pasti.
             Aku sendiri pun bingung,siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal berkaitan perkara ini. Tak apalah ,biarkanlah ianya berlangsung secara 'automatik'. Sedangkan pihak sekolah di mana aku bertugas sebelum ini,sering kali menanyakan khabarku dan perkembangan sekiranya ada surat dari pihak 'atasan'..Tapi hingga kini masih menjadi tanda tanya. Aku hanya menyerahkan segalanya kepada takdir. Mungkin kerjaya lain menanti aku di sana. Mungkin aku memang tak ditakdirkan untuk menjadi seorang guru.Yalah,aku merasakan menjadi guru apatah lagi guru agama sangat sukar untuk digalas beban itu.Tapi sekurang-kurangnya aku tetap bersyukur dengan hikmah dan nikmat kesempatan yang sudi Allah s.w.t pinjamkan untuk ku menikmatinya walau seketika cuma.

             Sebagai seorang bekas guru yang pernah berkhidmat memberikan didikan ilmu, aku sedikit kecewa melihat segelintir guru-guru generasi baru yang begitu pintar berkata-kata. Namun, semuanya hanya menjurus kepada kepentingan diri-sendiri sahaja...Lihat sahaja laman maya seperti 'facebook', sanggup mereka jadikan sebagai medan untuk menyuarakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Inikah contoh yang perlu ditunjukkan oleh golongan para guru yang sepatutnya menjadi 'role model' kepada para pelajarnya...Aku hanya menggelengkan kepala...

       Sepatutnya mereka bersyukur, dan ikhlas dalam memberikan khidmat sebagai penyebar ilmu, tetapi golongan bawahan pula yang dihentam. Janganlah kerana kita sudah berada dipuncak,tidak lagi sudi menunduk ke bawah. Sebagai contoh yang paling jelas, khidmat tukang sapu, pembersih, kerani dijadikan bahan sindiran dan lawak untuk ditertawakan. Sedangkan, tidakkah mereka sedar, sekiranya tiada tukang sapu, kerani dan seumpanya bangunan sekolah itu tidak akan bersih. Lain-lain perkara berkaitan pengurusan hal-ehwal peribadi berkaitan gaji dan sebagainya juga diuruskan oleh kerani. Sanggupkah mereka memegang sebatang penyapu dan bertugas menyapu lantai koridor sekolah sehabis selesai menghabiskan tugas mengajar dikelas?..mungkin tidak kan....

       Entah mengapa, aku merasa ianya begitu mengecewakan apabila aku melihat wujud juga golongan insan bergelar guru yang mempamerkan sikap-sikap negatif seumpanya ini. Bagaimana lah para pelajar boleh menjadikan mereka sebagai teladan, jika beginilah keadaannya...~astaghfirullah allazim...wallahu'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom menabung dan menderma di sini..TQVM

pengikat silaturahim..insyaAllah..