Terima kasih di atas kesudian anda..Semoga murah rezeki,amin..

Silakan berkongsi laman blog...Terima Kasih

Saturday, May 12, 2012

Sahabat...

Assalamualaikum... Kali ini, aku tertarik dengan satu topik yang berkaitan tentang "sahabat". Mungkin ianya salah satu perkara menarik yang sering bersangkut-paut kepada permasalahan dalam kehidupan kita, tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa, warga tua, mahupun golongan ternama atau berkedudukan dan sebagainya.

 "SAHABAT" sememangnya merupakan aset terpenting dalam sebuah kehidupan. Apa yang dapat didefinisikan sebagai 'sahabat'.. ialah ianya merupakan teman yang sentiasa memberikan dorongan serta bimbingan kepada diri kita tidak kira masa senang mahupun susah. Sahabat yang baik, akan sentiasa memberikan sokongan dari belakang dan prihatin terhadap diri sahabatnya yang lain terutama sekali semasa menghadapi masalah. Manakala sebaliknya pula, sahabat yang "suka menikam dari belakang"...

 Pernahkah anda tertanya, anda berada di kelompok yang mana?..wallahu'alam..
Kadangkala, seseorang sahabat itu terdorong untuk menjadi sahabat yang tidak baik adalah disebabkan sifat hasad dengki mahupun tabiat hipokrit yang sukar untuk dicegah atau dihindari. Tidak kurang juga sifat dendam yang sukar untuk disucikan dari hati seorang manusia yang sememangnya dikurniakan sifat ketidaksempurnaan dan mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan laknatullah...nauzubillahiminzalik...

 “Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
Pepatah arab juga ada menyatakan bahawa : “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.” “Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

 1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu
 2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu
 3. Jika engkau menghulur sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik
 4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu
 5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu
 6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
 7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu , dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
 8. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya
 9. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta) dia akan menanyakan kesusahan kamu
 10. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
 11. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk atau maksiat.
 12. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu
 13. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu
 14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

 Antara ciri-ciri sahabat yang perlu dijauhi :

  • sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.



  •  sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.



  •  sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.



  •  sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan


 Kesimpulannya, berusahalah untuk menjadi sahabat yang baik untuk orang lain, jika anda mahukan seorang sahabat yang baik buat dirimu. Jika ada yang terasa silap di pandangan mata, tegurlah demi untuk kebaikan Kerana seorang sahabat yang baik akan sentiasa mengiyakan apa yang betul dan menidakkan apa yang salah, tetapi bukanlah berpura-pura menegakkan benang yang basah.

 Akhir kata, semoga kita semua terhindar dari menjadi sebahagian daripada golongan "sahabat yang tidak baik"...nauzubillah...

Wassalam...

Wednesday, April 4, 2012

usia...oh, usia...

assalamualaikum pembuka tirai kata seperti kebiasaannya. Agak lama blog ini menjadi sepi rasanya tanpa kemas kini. Kesibukan yang melanda tatkala aku menyandang kembali gelaran menjadi "PELAJAR".

Masalah kekangan masa begitu menyukarkan pergerakan kami. Tugasan yang diberikan semuanya secara serentak dan pada suatu masa yang sama. Namun, alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, walaupun sedikit kelam kabut. Itulah yang dinamakan 'cabaran'. Ya, umpamanya seperti laut jika tidak ada ombak bukanlah laut namanya. Begitu juga dengan hidup ini, jika tiada dugaan dan cabaran bukanlah hidup namanya.

Walaubagaimanapun, kali ini aku ingin meneruskan isu berdasarkan topik "usia...oh, usia...."
Mengapa aku memilih tajuk ini?...Jawapannya kerana, sebenarnya aku sering kali tertanya, mengapa usia bukanlah penentu kepada kematangan seseorang itu dalam melaksanakan segala tindakannya. Mungkin, anda masih kurang jelas tentang hal ini bukan? Sebagai contoh, walaupun seseorang itu telah mencapai tahap umur yang matang seperti 30-an misalnya namun, emosinya tetap menguasai mindanya. Sehinggakan dia tidak boleh mengawal emosi dan bertindak tanpa memikirkan tentang kebajikan orang di sekelilingnya.

Adakah faktor usia akan menjadikan seseorang itu cepat beremosi? Adakah sesorang itu perlu mengubah sikapnya menjadi lebih matang dalam bertindak? Adakah sikap semulajadi seseorang itu yang sememangnya sensitif sukar untuk diubah?...

Segala persoalan ini pasti akan terjawab seandainya kita sebagai diri kita sendiri berusaha untuk berubah dan mengubah apa yang dirasakan kurang betul. Hakikatnya sebagai manusia, memang kita tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Itulah lumrahnya hidup di dunia ini.

Yang bersalah, perlu meminta maaf. Pihak yang satu lagi perlu bersikap positif dan terbuka dalam melakukan tindakan. Itulah usaha yang terbaik dalam melakukan tindakan. Bukannya bertindak menggunakan emosi tanpa adanya akal dan minda sebagai enjin pengawalnya.

Konklusinya, kematangan tidak semestinya bergantung kepada usia semata-mata, tetapi adalah bergantung kepada daya kreativiti seseorang manusia itu untuk menggunakan akal serta mindanya dalam bertindak dan mengawal emosi. Emosi yang stabil perlu sentiasa diterapkan dalam jiwa kita, hanya dengan mengamalkan amalan-amalan gaya hidup yang sihat selaras dengan syariat agama. Tentunya dengan mengamalkan istighfar, bersabar dan menjana pemikiran positif.

Sentiasalah amalkan petua-petua gaya hidup sihat. Ingatlah, seburuk mana pun pandangan orang terhadap kita, bersangka baiklah terhadap orang sekeliling. Sejahat manapun tindakan seseorang itu terhadap kita, hanya satu kunci penyelesaiannya iaitu "kemaafan". Bersedialah memohon dan menerima "kemaafan". Jika itu berjaya kita lakukan, maka kita tidaklah tergolong dalam lingkungan seperti yang diperbincangkan sebentar tadi.

Selebihnya wallahu'alam.

Sekian, wassalam...

Friday, February 3, 2012

enaknya "Kelupis"...

Assalamualaikum semuanya...

Blog aku kali ini, ingin berkongsi tentang kuih tradisional kaum Brunei. Untuk pengetahuan anda, aku sebenarnya berbangsa Brunei. Walaupun sudah bercampur darah bangsa suku kaum-Sungai, Suluk, melayu-sarawak, dusun namun bangsa Brunei adalah yang paling dekat dengan diriku sebenarnya.

Yalah, sememangnya sejak kecil lagi aku memang didedahkan dengan kehidupan sebagai kaum-bangsa brunei ini. Bagi kaum-bangsa brunei, kuih tradisional yang paling dikenali ramai adalah kuih kelupis. Tetapi, anda jangan silap pulak, kuih kelupis ini terdapat dalam pelbagai rupa bentuk yang berbeza-beza. Segalanya bergantung pada persekitaran dan budaya di sesuatu tempat mahupun bangsa kaum itu sendiri.

Mari kita singkap bagaimana rupa bentuk kuih kelupis ini :

Jom tengok gambar yang aku sertakan ini,

"Kuih Kelupis tradisional suku-kaum Kedayan, Sarawak".

"kuih Kelupis ini pula biasanya tedapat pada suku-kaum brunei di Sabah.

"Kuih kelupis di kampung saya, Kampung Kolapis".

Sememangnya aku hanya berjaya menemui Kuih kelupis seperti rupa bentuk sebegitu di kampung aku sahaja setakat ini. Sememangnya ia mempunyai ciri dan rupa bentuk yang berbeza dari tempat lain. Pembalut luarnya itu adalah menggunakan pucuk 'daun nipah'. Manakala, kuih kelupis di tempat selainnya pula biasanya menggunakan sejenis daun yang dinamakan 'daun nyirik' sebagai pembalut luarnya. Namun begitu, Cara memasaknya masih juga menggunakan kaedah kukus. Rasanya juga tetap sama, kerana masih kekal menggunakan beras pulut. Samada dalam bentuk 'berinti' atau 'tanpa berinti'. 'Berinti' adalah bermaksud terdapat inti di dalam beras pulut tersebut(biasanya menggunakan udang atau kelapa parut).

Bagi suku kaum-brunei, terdapat banyak lagi kuih tradisional menarik yang perlu anda tahu, contohnya seperti "embuyat". Bagi aku, hanya arwah bapa akulah yang paling pakar menghasilkan resepi itu. Aku ingat lagi, sewaktu kali pertama aku merasa resepi yang unik itu suatu ketika dahulu. Memang agak pelik sedikit, jarang ditemui.

InsyaAllah di lain waktu dan kesempatan kelak aku akan turut kongsikan tentang itu semuanya. Kalau tidak,tidak pasal-pasal cerita aku kali ini berjela-jela pula. Payah nak dihabiskan membacanya.

Setakat ini sahajalah perkongsian aku dapat titipkan buat anda. Semoga kita semua dapat beroleh seribu satu kemanfaatan dan pengetahuan bersama.

Wasalam..

Monday, December 12, 2011

Imbas kembali..Indahnya Syawal..


 Assalamualaikum & Selamat sejahtera..
       Sekian lama blog ini sepi tanpa sebarang cerita. Namun, kali ini persinggahan ku yang hanya seketika cuma benar-benar menarik minat ku untuk bercerita tentang bagaimana pengalaman menyediakan menu masakan untuk sambutan syawal di sekolah tempat aku bertugas kini.

     Sepatutnya, entri kali ini aku terbitkan detik lebih awal dahulu. Iaitu, sebaik sahaja sambutan hari raya terbuka di sekolah pada waktu itu. Tahu sajalah, masa menguasai segalanya. Sekarang barulah aku berkesempatan untuk membuka kembali lembaran ini.


Pada mulanya, aku hanya berkeinginan untuk membawakan buah tangan iaitu sejenis kuih tradisional orang Brunei (kuih KELUPIS). Jika berkesempatan, nantikan sahajalah entri yang berikutnya, insyaAllah aku akan ceritakan selanjutnya tentang kuih KELUPIS. Memang salah satu jenis kuih yang cukup menarik sebenarnya.

       Kali ini aku ceritakan tentang menu menarik yang aku sediakan untuk penyeri sambutan syawal di sekolah bersama keluarga staf di sekolah tersebut. Menu yang aku sediakan, ops harap jangan salah faham. Aku cuma berfungsi memberikan khidmat bantuan kewangan dan sokongan sampingan sahaja. Kakak akulah yang sebenarnya yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam penyediaan menu tersbut. Menu tersebut adalah NASI BRIYANI.

         Bersama-sama ini, aku titipkan beberapa buah gambar yang
 memang khas untuk tatapan rakan-rakan semua. Bolehlah kongsi sedikit info ini. Mana tahu, bermanfaat buat kita semua.
 
Nasi briyani beserta sedikit hiasan aksesori

Ini adalah penyediaan menyiapkan masakan Daging Rusa masak Rendang. Terdapat pelbagai bahan serta ramuan yang diperlukan. Boleh rujuk di dalam gambar tersebut :










..beberapa jenis ramuan yang diperlukan : daun pandan, rempah paket rendang (sebaiknya perisa NONA), daun kari, kisaran bawang(merah+putih), lada hijau, & kerisik




..dari pandangan sisi

perahan pekat santan kelapa
..dengan kesan pencahayaan (flash)
  

..dari jarak dekat
..hampir masak
..proses daging rendang tengah dimasak
Resipi Ayam masak percik ini adalah sebelum dibakar (barbecue).
          Untuk pengetahuan anda ini adalah proses memerap ayam dengan pelbagai ramuan. Antaranya seperti kisaran bawang-bawang (bawang merah+putih+halia+kisaran serai+sedikit kisaran lada kering). Setelah selesai, sebatikan (gaulkan) kesemuanya dalam api sederhana seperti yang anda lihat dalam gambar tertera. Seterusnya ianya akan dibakar seperti (proses membakar satee). Apabila cukup masak, barulah ayam  dipotong kecil-kecil dan dimasak sekali lagi supaya menjadi kepada Ayam masak Percik.

      





           Mohon maaf, gambar resepi Ayam Masak Percik ini yang telah siap untuk dihidangkan gagal untuk
dipersembahkan. Maklumlah, terlalu dihimpit oleh kesempitan waktu tika itu. Di topik yang akan datang, jika berkesempatan pasti akan dipersembahlan juga buat anda, insyaAllah..
Ini adalah proses penyediaan Ayam masak percik..(sory, gagal nak rotate, gambar nampak agak terbalik)




Ini adalah bahan untuk penyedian acar, antaranya : Timun, lobak, bawang merah, (semuanya dihiris kecil)
lebihan potongan timun..

           Demikianlah beberapa gambar yang sempat diambil semasa proses penyediaan. Keadaan yang agak kelam kabut menyebabkan banyak gambar tidak sempat diambil. Contohnya seperti hasil acar yang telah siap untuk dihidangkan. Juga proses penyediaan Nasi Briyani. Mungkin di lain kesempatan akan dipersembahkan buat tatapan kita bersama kelak, insyaAllah.

          Untuk pengetahuan anda, pada detik itu kami terpaksa bangun seawal jam 3.00 pagi untuk menyiapkan masakan Nasi Briyani. Tidak ketinggalan ingin aku nyatakan di sini juga menu kali ini adalah untuk 5 buah sekolah. Apa taknya, kami 5 orang (aku beserta kakak-kakak ku) setiap seorang masing-masing membawa ke sekolah tempat bertugas.

         Walau agak penat, tapi memang menyeronokkan. Kebaikannya, kita dapat menimba pelbagai pengetahuan, pengalaman atau ilmu, juga jika nawaitu kita ikhlas untuk sedekah amal jariah, ianya akan mendatangkan seribu satu kebaikan, insyaAllah. Selebihnya aku percaya anda boleh fikirkan sendiri.

          Akhir kata, semoga kita semua dapat berkongsi pelbagai maklumat dari topik kali ini.
   
Alhamdulillahirrabbilalamin..

Saturday, October 29, 2011

Kucuri sedikit 'MASA'..

Assalamualaikum..

          Merujuk kepada tajuk besar yang aku cipta sendiri itu, memang aku ketiadaan waktu lapang untuk mengemas kini blog ini. Terlalu banyak perkara yang perlu aku selesaikan. Al-maklumlah banyak urusan-urusan 'mustahak' yang datang secara mendadak. Bukan setakat itu sahaja, malah ianya datang pada masa dan saat yang serentak. Entahlah agak sukar untuk diterangkan.

          InsyaAllah, ada suatu masa dan kesempatan yang sesuai aku akan bercerita dengan panjang lebar lagi. Janji ditambah lagi, aku juga pasti akan sering kali mengunjungi blog rakan-rakan sekalian. Maaflah andainya pada kesempatan kali ini, kesempitan waktu yang agak menyukarkan aku untuk mengunjungi blog anda.

          Akhir kata, aku begitu tidak sabar untuk menyaksikan filem adaptasi dari novel OMBAK RINDU karya penulis kegemaranku Fauziah Ashaari.

*** Lagu ini buat tatapan kita bersama,..
~Wassalam

Thursday, August 11, 2011

komitmen demi komitmen..

 Ø§Ù„سلام عليكم..
         
           Di kesempatan ini aku ucapkan selamat menyambut bulan ramadhan yang dimuliakan khususnya buat umat muslim. Semoga segala amal ibadah kita sentiasa diberkati, InsyaAllah.. Agak terbatas waktu untuk mengemas kini blog ini. Mana taknya, terlalu banyak tugas & komitmen yang memerlukan tenaga kudrat ini untuk digalas.

          Pelbagai perkara dan tugasan perlu aku selesaikan  dalam kadar yang segera. Warga pendidik KPM tentunya faham dengan situasi kesibukan pada lewat kebelakangan ini. Antara perkara yang perlu diselesaikan dengan kadar segera adalah :  Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah .. Buat masa sekarang masih ada beberapa buah kelas yang masih belum selesai 'key-in'.

Begitu juga nasibnya dengan Petaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Fail keramat itu pun masih lagi terkunci rapat. Entah bila agaknya ada kesempatan untuk menyelesaikannya dengan segera. Komitmen demi komitmen silih berganti. Namun di sebalik kesempitan waktu ini begitu banyak mengajarku erti ketekunan, kesabaran, & yang paling penting mencurahkan ilmu yang begitu berharga buat bekalan, insyaAllah.


         Sesungguhnya aku begitu bersyukur dengan segala nikmat, rezeki, & ilmu yang tidak putus-putus dikirimkan buat ku ini.

     ~  الحمدالله الرب العا لمين



          

Thursday, June 9, 2011

Percutian ke.......

Assalamualaikum..sejahtera semua..

             Sudah lama rasanya aku tidak menjenguk blog ini. Rindu pula rasanya untuk mengemas kini kembali data-data penting semasa di dalam kamus blog ini. Walaupun kurang mendapat perhatian dari para pembaca di luar sana, namun aku tetap berterima kasih kepada anda yang sudi menjenguk dan menhadirkan diri menghabiskan pembacaan ke entri di dalam blog yang sememangnya tidak seadanya ini.


            Mungkin tiada apa yang menarik sangat. Di kesempatan ini aku juga punya keinginan untuk berkongsi saat-saat kegembiraan ini bersama anda. Musim cuti sekolah yang lepas ini, aku sekeluarga sempat juga menikmati percutian dengan mengembara ke tempat-tempat menarik. Tidak mengapa aku akan selitkan beberapa gambar buat tatapan kita bersama. Selamat menonton..
















Minuman Laici ni kami pesan di sebuah warung kedai makan yang agak pelik. Lihat sahajalah, pesan minuman layan diri ini pun kena letakkan resit harga di minuman tu..memang pelik...


Hujan mulai membasahi bumi..






                     Di kesempatan ini aku juga akan sertakan rakaman video yang sempat kami rakamkan semasa sambutan Tadau keamatan. Saksikan bersama. Semoga terhibur...

                  Akhir kata, semoga di lain kesempatan kita akan berkongsi pelbagai perkara menarik buat tatapan kita bersama kelak, insyaAllah...

Wassalam...:)   
 

hayati bersama..

Cinta AGUNG...

.::Laman Web Rasmi Jabatan Pelajaran Negeri Sabah::.

iLuvislam.com + discover the beauty of islam