assalamualaikum pembuka tirai kata seperti kebiasaannya. Agak lama blog ini menjadi sepi rasanya tanpa kemas kini. Kesibukan yang melanda tatkala aku menyandang kembali gelaran menjadi "PELAJAR".
Masalah kekangan masa begitu menyukarkan pergerakan kami. Tugasan yang diberikan semuanya secara serentak dan pada suatu masa yang sama. Namun, alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, walaupun sedikit kelam kabut. Itulah yang dinamakan 'cabaran'. Ya, umpamanya seperti laut jika tidak ada ombak bukanlah laut namanya. Begitu juga dengan hidup ini, jika tiada dugaan dan cabaran bukanlah hidup namanya.
Walaubagaimanapun, kali ini aku ingin meneruskan isu berdasarkan topik "usia...oh, usia...."
Mengapa aku memilih tajuk ini?...Jawapannya kerana, sebenarnya aku sering kali tertanya, mengapa usia bukanlah penentu kepada kematangan seseorang itu dalam melaksanakan segala tindakannya. Mungkin, anda masih kurang jelas tentang hal ini bukan? Sebagai contoh, walaupun seseorang itu telah mencapai tahap umur yang matang seperti 30-an misalnya namun, emosinya tetap menguasai mindanya. Sehinggakan dia tidak boleh mengawal emosi dan bertindak tanpa memikirkan tentang kebajikan orang di sekelilingnya.
Adakah faktor usia akan menjadikan seseorang itu cepat beremosi? Adakah sesorang itu perlu mengubah sikapnya menjadi lebih matang dalam bertindak? Adakah sikap semulajadi seseorang itu yang sememangnya sensitif sukar untuk diubah?...
Segala persoalan ini pasti akan terjawab seandainya kita sebagai diri kita sendiri berusaha untuk berubah dan mengubah apa yang dirasakan kurang betul. Hakikatnya sebagai manusia, memang kita tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Itulah lumrahnya hidup di dunia ini.
Yang bersalah, perlu meminta maaf. Pihak yang satu lagi perlu bersikap positif dan terbuka dalam melakukan tindakan. Itulah usaha yang terbaik dalam melakukan tindakan. Bukannya bertindak menggunakan emosi tanpa adanya akal dan minda sebagai enjin pengawalnya.
Konklusinya, kematangan tidak semestinya bergantung kepada usia semata-mata, tetapi adalah bergantung kepada daya kreativiti seseorang manusia itu untuk menggunakan akal serta mindanya dalam bertindak dan mengawal emosi. Emosi yang stabil perlu sentiasa diterapkan dalam jiwa kita, hanya dengan mengamalkan amalan-amalan gaya hidup yang sihat selaras dengan syariat agama. Tentunya dengan mengamalkan istighfar, bersabar dan menjana pemikiran positif.
Sentiasalah amalkan petua-petua gaya hidup sihat. Ingatlah, seburuk mana pun pandangan orang terhadap kita, bersangka baiklah terhadap orang sekeliling. Sejahat manapun tindakan seseorang itu terhadap kita, hanya satu kunci penyelesaiannya iaitu "kemaafan". Bersedialah memohon dan menerima "kemaafan". Jika itu berjaya kita lakukan, maka kita tidaklah tergolong dalam lingkungan seperti yang diperbincangkan sebentar tadi.
Selebihnya wallahu'alam.
Sekian, wassalam...
No comments:
Post a Comment
Jom kongsi pendapat. Terima Kasih di atas keprihatinan anda, ok !!!